AYER KEROH: Kejayaan Melaka membentuk Kerajaan Perpaduan di Melaka memberi cerminan kuasa politik era baharu di negara ini.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pembentukan barisan Exco campuran antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (PH) juga menggambarkan kematangan politik antara parti-parti politik seperti yang dilakukan di peringkat Persekutuan.

“Kenapa kita perlu bercakap pasal kesukaran? Kalau kita takut jatuh kita jangan memanjat, kalau takut lemas jangan berenang. Maka saya mengambil tanggungjawab ini bersama apa yang dipandu oleh pucuk pimpinan.

“Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberikan saya amanah dan tanggungjawab untuk bersama-sama mencerminkan Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat dan Melaka.

“Era baharu politik di negeri ini membuktikan kematangan dan di Melaka akan bermula satu penjanaan kuasa politik baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia 10 Exco yang berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini.

Jumaat lalu, Ab Rauf telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka baharu selain turut memegang jawatan Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan, Hal Ehwal Tanah, Agensi Bukan Kerajaan, Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET.

Hari ini 10 Exco mengangkat sumpah dengan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik semula menyertai barisan yang baharu itu dalam membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan.

Pembentukan itu terdiri daripada sembilan ADUN Barisan Nasional dengan dua muka baharu serta seorang ADUN PH. 

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, kerjasama politik itu jelas mampu merentasi faktor etnik yang dapat memupuk perkongsian kuasa antara pelbagai kaum dan parti politik.

Katanya, permuafakatan politik dan perkongsian kuasa antara kaum ini adalah bersifat inklusif dan bukan eksklusif.

“Seterusnya, ia dapat memupuk semangat solidariti dan perpaduan antara kaum di dalam usaha mentadbirkan negara yang pelbagai etnik dan agama.

“Sesungguhnya, dimensi politik dan demokrasi di Melaka kini sudah lebih matang,” katanya.

Jelasnya, beliau tidak mahu prasangka dan perbezaan antara agama dan budaya berterusan menjadi halangan kepada perpaduan rakyat berbilang kaum dalam konteks permuakatan politik di Melaka khususnya dan Malaysia amnya.